KOPITIAM & SIJIL HALAL SWASTA

Posted: July 29, 2010 in Berita

Mengapa terus kunjung kopitiam

JIKA sebelum ini, umat Islam digemparkan dengan insiden pasar raya besar menjual ayam yang tidak disembelih dengan sempurna, kini sekali lagi umat Islam digemparkan dengan sajian yang tidak halal oleh kebanyakan kopitiam. Jelas terpapar dalam direktori http://www.halal.gov.my hanya dua kopitiam sahaja yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Justeru, apakah status makanan yang dimakan oleh umat Islam di kopitiam lain?

Sebelum kewujudan kopitiam, umat Islam lebih selesa makan dan minum di kedai-kedai makan orang Melayu Islam dan restoran-restoran mamak. Mereka menikmati makanan tanpa rasa was-was akan halalnya.

Walaupun pelbagai pihak mempersoalkan status halal dan haram makanan yang disediakan oleh kopitiam-kopitiam ini, namun majoriti masyarakat Islam tidak mengendahkannya. Jakim yang turut menyediakan kemudahan menyemak status halal sesebuah kopitiam di laman webnya, tetapi masyarakat Islam lebih percayakan pemilik-pemilik kopitiam yang meletakkan pelekat halal ‘yang haram’ serta mengupah anak muda Melayu sebagai pekerja mereka.

Sedarlah, bahan mentah terutama daging ayam diperolehi daripada pembekal bukan Islam malahan terdapat kopitiam yang turut menyajikan makanan haiwan eksotik seperti katak yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini. Namun masyarakat Islam terus tidak memandang berat insiden tersebut kerana dikelabui oleh status elit yang dibawa oleh kopitiam.

Jika masyarakat Islam masih menganggap isu halal haram kopitiam sebagai remeh, lihat pula dari sudut bagaimana kopitiam ini sebenarnya secara perlahan-lahan membunuh kedai makan Melayu di bandar-bandar.

Majoriti orang Melayu tidak akan makan dan minum di kedai kopi orang Cina kerana meragui status halalnya tetapi orang Melayu tidak menolak kopitiam. Maka berduyun- duyunlah masyarakat Islam memenuhi kopitiam terutama dari kalangan teknokrat dan korporat Melayu.

Apa pun, yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat Islam perlu bersatu menolak kopitiam yang tanpa segan silu terus menyajikan makanan tidak halal kerana mereka anggap masyarakat Islam sendiri sudah tidak mementingkan halal atau haram sesuatu makanan.

Jika kita kasihankan generasi muda Islam yang akan rosak jiwanya kerana terus menikmati makanan tidak halal yang menjadi darah daging mereka, kita harus bertindak “mengajar” kopitiam seluruh negara agar menghormati kedudukan halal makanan orang Islam! (Norhisyam Mohamad, Utusan Malaysia 29/7/2010)

JAIP kuat kuasa larangan swasta keluar sijil halal (Utusan Malaysia 28/7/2010)

KUANTAN 27 Julai – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menguatkuasakan larangan menghalang mana-mana pihak termasuk syarikat swasta daripada mengeluarkan sijil halal kepada premis makanan dan pengilang produk makanan di negeri ini.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, larangan ini akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengesan terdapat lebih 20 premis makanan dan pengilang produk makanan di negeri ini mendapatkan sijil halal daripada pihak berkenaan.

“Kami telah mengenal pasti tiga syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal yang tidak diiktiraf yang boleh didapati hanya dalam masa sehari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bufet Halal Ramadan di Suria Cerating Resort, di sini semalam. Hadir sama, Pengurus Suria Cerating Resort, Shahrul Nizam Othman.

Beliau mengulas masalah kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta untuk pelbagai jenis produk makanan dan restoran sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jakim Jumaat lalu, boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal.

Kopitiam yang mendapat sijil halal daripada syarikat swasta itu diserbu Jakim selepas dipercayai mendapat bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses yang cepat dan mudah menyebabkan ramai pengusaha premis lebih senang mendapatkan sijil halal daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Pihak berkenaan mengeluarkan sijil halal dalam tempoh singkat iaitu sehari berbanding melalui JAIP yang mengambil tempoh sebulan hingga dua bulan.

“Bagaimanapun, tempoh yang lama diambil oleh JAIP adalah bagi memastikan setiap aspek harus menepati klasifikasi halal yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, arahan yang bakal digariskan itu termaktub dalam Enakmen Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang manakala pihak yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s