ISTIQBAL ISTIMEWA MUSYTARI PADA 21/9/2010

Posted: September 19, 2010 in Berita

ISTIQBAL ISTIMEWA MUSYTARI PADA 21/9/2010 INI:

Raja bagi segala planet, Musytari akan berada di posisi Istiqbal yang cukup istimewa pada tahun ini. Berdasarkan kiraan falak, Musytari kali ini akan berada pada kedudukan istiqbal pada 21 Sep 2010.


Apa dia Istiqbal?

Istiqbal merupakan satu istilah yang merujuk kepada satu kombinasi kedudukan matahari, bumi dan planet-planet di ‘belakang’ orbit Bumi (seperti Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune). Apabila istiqbal berlaku, ketiga-tiga objek tersebut akan berada di dalam kedudukan garis lurus, dengan Bumi berada di tengah-tengah.

Di dalam kes kali ini, Musytari, Bumi dan Matahari akan berada di dalam satu garis lurus. Apabila Matahari terbenam ketika maghrib, Musytari akan terbit di ufuk timur. Selain dari itu, jarak di antara Bumi dan Musytari ketika itu juga adalah yang paling hampir, maka planet tersebut akan dilihat lebih besar daripada biasa tetapi tak lah sampai sebesar bulan.

Oleh itu, waktu istiqbal kali ini ialah waktu yang paling sesuai untuk mencerap planet Musytari.

Apa istimewanya istiqbal Musytari kali ini?

Musytari mengelilingi matahari setiap 12 tahun. Bumi pula setiap 365.25 hari. Oleh itu, Bumi bergerak lebih pantas di dalam orbitnya berbanding Musytari. Secara kiraannya, Bumi akan memintas Musytari setiap 398.9 hari. (Rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Jupiter)

Musytari pula mengorbit matahari di dalam satu pusingan berbentuk elips. Ini bermakna, ada ketikanya ia berada paling jauh dari matahari (digelar sebagai aphelion) dan ada ketika paling hampir (digelar perihelion).

Untuk kali ini, Musytari akan berada pada posisi perihelion pada Mac 2011. Maka tarikh ini amat hampir dengan tarikh istiqbalnya iaitu September 2010 ini. Maka, istiqbal kali ini, Musytari akan kelihatan agak besar berbanding fenomena istiqbal lain. Maklumat yang dikira oleh perisian Skymap Pro 8, jarak istiqbal kali ini ialah 3.9540 Unit Astronomi (AU). Skala Unit Astronomi bermaksud jarak purata Bumi ke Matahari, iaitu bersamaan 1 AU.

Oleh itu ini bermaksud, istiqbal ini, Musytari berada 3.9540 AU dari Bumi. Kali terakhir ia berada hampir dekat dengan jarak ini ialah pada tahun 1963. Dan untuk menunggu ia berada pada jarak yang lebih dekat berbanding sekarang, kita kena menunggu sehingga tahun 2022.  Fenomena istiqbal lain berlaku pada jarak lebih dari 4 AU dari Bumi.


Bolehkah Musytari dilihat dengan mata kasar?

Boleh. Malah kebanyakan daripada waktunya di langit, ia merupakan objek ke-4 paling cerah, selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah. Cuma kadangkala, Marikh akan memancarkan terang ketika ia berada di posisi istiqbalnya, itu pun bukan selalu. Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang yang amat cerah, memancar di ufuk timur sekitar waktu Isya.

Bagaimana pula di dalam teleskop?

Menerusi teleskop, segala kehebatan “Raja Planet” ini akan terserlah. Disebabkan ia merupakan planet paling besar di dalam Sistem Suria, Musytari kelihatan amat besar di dalam teleskop. Ia akan kelihatan seperti sebuah objek bulat yang direntasi dengan garisan-garisan. Garisan ini merupakan jalur awan yang merentangi seluruh kawasan sfera Musytari. Bergantung kepada saiz teleskop, kita akan dapat lihat jaluran ini bukan lurus, tetapi berliuk-liuk dan kadang-kadang berbentuk pusaran.

Selain daripada itu, 4 buah satelit utamanya, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto akan kelihatan seperti butiran bintang cerah yang beratur sederet dan membentuk garisan lurus samada di kiri atau kanan daripada sfera bulatan Musytari itu. Pada waktu-waktu tertentu, kita berpeluang menyaksikan satelit-satelit ini merentasi di hadapan Musytari dan kadangkala menghasilkan bayang-bayang di atas lapisan awan planet tersebut.

Menarik tu, jadi maknanya kita boleh lihat Musytari pada 21 Sep ini sajalah ye? Jika terlepas tarikh tu, tak dapat nak tengok?

Eh, bukan!! Tarikh 21 Sep 2010 menandakan posisi istiqbal je, selepas daripada tarikh itu, Musytari tetap nampak di langit, cuma ia akan terbit makin awal setiap hari, dan bukan lagi dalam kedudukan segaris dengan matahari. Jika anda terlepas tarikh tu, jangan risau kerana untuk beberapa bulan yang akan datang, Musytari akan terus menerus mendominasi langit kita sebaik sahaja Maghrib berlabuh!

Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini. Jom Teropong! (Sumber: http://www.falak-online.net/)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s