NUZUL AL-QURAN 17 RAMADHAN 1432

Posted: August 16, 2011 in Berita, INSPIRASI/MOTIVASI

NUZUL AL-QURAN 17 RAMADHAN 1432:

ALLAH SWT memuliakan Ramadan melebihi bulan lain dengan memilih satu malam penuh keberkatan daripada malam Ramadan sebagai masa paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.

Selain al-Quran, Allah menurunkan beberapa kitab suci lain pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan Ramadan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ketiga Ramadan. Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada bulan Ramadan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.

Sesungguhnya, penurunan (nuzul) al-Quran adalah peristiwa besar dan agung. Ia cukup hebat jika dibandingkan dengan peristiwa lain pernah berlaku di alam ini. Justeru, setiap umat Islam seharusnya mengingati dan merenungi peristiwa nuzul al-Quran ini kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.

Selain itu, ia adalah asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai Allah.

Sebelum al-Quran diturunkan manusia hidup dalam kesesatan bertuhankan hawa nafsu dan menyekutukan Allah. Selepas al-Quran diturunkan, kesesatan disinari kebenaran dan hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada hidup bertuhankan Allah.

Dalam erti kata lain, penurunan al-Quran membawa rahmat perubahan kepada kehidupan dan ketamadunan manusia.

Firman Allah bermaksud,

Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil). (Surah al-Baqarah, ayat 185). Berdasarkan ayat ini, wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung mengangkat martabat Baginda sebagai rasul Allah dan menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Petunjuk (al-Quran) dibawa Baginda SAW ini membawa perubahan besar kepada kehidupan umat manusia, khususnya masyarakat Arab jahiliah dan perubahan itu mencakupi pelbagai bidang dan aspek:

  1. Aspek keagamaan: Bangsa Arab Jahiliah menyembah patung dan batu berhala serta menyembelih binatang ternakan di hadapan patung itu sebagai korban untuk memuliakannya. Apabila datang agama Islam (al-Quran) membawa petunjuk dan pedoman daripada Allah, maka kehidupan jahiliah terus lenyap kerana al-Quran mengatur kehidupan seperti percaya kepada keesaan Allah, hari akhirat, syurga, neraka, mengenai ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Jelaslah, ajaran al-Quran melarang keras amalan penyembahan patung, berhala, matahari, bulan atau makhluk lain selain Allah. Sebaliknya mereka diajar bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah.
  2. Aspek kemasyarakatan. Bangsa Arab sebelum Islam tidak berdisiplin dan tidak taat kepada pemimpin tetapi diturunkan al-Quran, keadaan itu berubah. Islam menyedarkan mereka erti dan pentingnya disiplin serta ketaatan dalam kehidupan.Bagi membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni, al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah mengenai kriteria antara akhlak terpuji dengan akhlak tercela. Selain itu banyak lagi dasar umum masyarakat dibawa oleh Islam seperti hubungan antara individu dengan individu, antara individu dengan masyarakat, antara suatu kelompok masyarakat dengan kelompok lainnya, undang-undang kekeluargaan sehinggalah kepada soal kenegaraan. Islamlah juga yang mula mengangkat kedudukan kaum wanita dengan memberikan hak kepada mereka sesuai dengan kewanitaannya. Di samping itu, Islam menegakkan pula ajaran persamaan antara manusia dan membanteras perhambaan.
  3. Aspek siasah (politik). Bangsa Arab sebelum Islam berada dalam keadaan berpecah-belah, ‘asabiyyah (kesukuan), berpuak dan kabilah yang sempit. Yang wujud ketika itu kaum Arab, Parsi, Tauran dan kaum lain.Keadaan itu berubah apabila turunnya al-Quran membawa ajaran sebenar. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran supaya bersatu membentuk satu ummah. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku. (Surah al-Anbiya’, ayat 92). Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit, malah menyeru semua bangsa supaya bersatu menjadi satu ummah bersaudara dan tidak lagi mengenal kelebihan kecuali berdasarkan kekuatan iman serta takwa kepada Allah.
  4. Aspek ekonomi. Al-Quran memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan perkara yang boleh dimiliki oleh individu dan dilarang. Peraturan yang terdapat dalam al-Quran memberikan petunjuk pelaksanaan mengenai jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, penurunan al-Quran adalah peristiwa agung dan terbesar pada Ramadan. Penurunannya telah membawa perubahan besar kepada alam ini dan berperanan mengubah kehidupan umat manusia pada masa lampau, kini dan hadapan.

Jelaslah, melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan teratur dengan berpandukan petunjuk serta pedoman yang diwahyukan Allah. (Sumber: http://www.masjidnegara.gov.my/)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s